Jangan tunggu jawatan untuk bantu rakyat, kata Liew

LAHAD DATU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menyeru semua pemimpin dan ahli parti supaya terus berkhidmat kepada rakyat tanpa menjadikan ketiadaan jawatan politik sebagai alasan untuk tidak membantu masyarakat.

Beliau berkata, perjuangan membantu rakyat perlu diteruskan walaupun PHRS ketika ini tidak mempunyai wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Menurutnya, setiap pemimpin parti di peringkat bahagian perlu memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti masalah rakyat dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Jangan tunggu ada jawatan baru mahu bekerja atau membantu orang kampung. Jika ada masalah yang memerlukan campur tangan di peringkat pusat, maklumkan kepada kami dan saya sendiri akan berusaha turun padang membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PHRS Bahagian Segama, Silam dan Tungku yang diadakan di Lahad Datu hari ini.

Liew turut merakamkan penghargaan kepada hampir 300 ahli parti yang hadir termasuk dari kawasan pedalaman seperti Tambisan dan Ulu Segama.

Pada masa sama, beliau menegaskan PHRS terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor demi memastikan agenda pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.