Kilang ais blok diserbu, aset RM2.1 juta disita

TAWAU: Sebuah kilang pengeluaran ais blok diserbu dalam operasi bersepadu membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) selepas dipercayai beroperasi tanpa kelulusan yang diperlukan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa memeriksa seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai menguruskan premis berkenaan.

Pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan digunakan untuk penghasilan ais blok termasuk dua mesin pengeluaran ais, mesin penghancur ais, cooling tower dan tangki simpanan air.

Walaupun lesen perniagaan dan lesen kebersihan makanan masih sah, pengusaha gagal mengemukakan dokumen kelulusan bagi aktiviti penghasilan serta penjualan ais blok.

KKM mengeluarkan kompaun RM2,500 selain mengarahkan operasi kilang dihentikan dan menyita aset serta peralatan yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta.