KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata rakyat Sabah masih berdepan masalah asas yang belum diselesaikan sepenuhnya termasuk gangguan bekalan air dan keadaan jalan raya yang rosak.
Beliau berkata, situasi di Bandar Leila yang menyaksikan penduduk terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan tong serta keadaan jalan di Gum-Gum yang didakwa rosak dan berbahaya menggambarkan realiti yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, rakyat tidak menuntut kemewahan sebaliknya hanya mahukan kemudahan asas seperti bekalan air yang mencukupi, jalan yang selamat dan perkhidmatan awam yang berfungsi dengan baik.
“Masalah yang sama terus berulang tahun demi tahun. Aduan dibuat, janji diberikan, tetapi penyelesaian yang benar-benar dirasai rakyat masih belum kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafie berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada penyelesaian isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
