Empat cedera selepas Proton Saga terbabas

SEMPORNA: Empat individu cedera selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas sendiri di bahu jalan dalam kejadian di Kampung Selamat, di sini awal pagi tadi.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdeani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.55 pagi sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pasukan tiba di lokasi tiga minit kemudian dan mendapati sebuah Proton Saga terbabas sendiri di bahu jalan.

“Empat mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan kenderaan awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.23 pagi.