PITAS: Kegiatan seorang lelaki dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di daerah ini berakhir apabila dia ditahan polis dalam serbuan di Kampung Salimpodon Laut, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, polis turut merampas sebuah beg berisi tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel yang dicuri dan belum sempat dijual.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan suspek yang dipercayai aktif mencuri kabel SESB di kawasan Telaga, Pitas.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Maringgan, Pitas.
“Suspek turut didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian saringan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam.
Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan ini.
“Kami menggesa masyarakat terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.
