Wanita Gagasan Rakyat sambut baik bayaran khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

Menurut pergerakan itu, peningkatan berkenaan merupakan perkembangan positif yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri.

Dalam kenyataan hari ini, Wanita Gagasan Rakyat berkata keputusan itu juga menunjukkan hasil rundingan berterusan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Bagaimanapun, mereka menegaskan bahawa bayaran khas interim berkenaan bukanlah pengganti kepada hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

“Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mereka berpandangan bahawa peningkatan bayaran interim tersebut mampu membantu mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan inisiatif kebajikan rakyat terutama dalam aspek infrastruktur asas, bekalan air, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.

Pada masa sama, mereka berharap peruntukan tambahan itu dimanfaatkan secara telus, berkesan dan strategik supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di seluruh Sabah.