Lori 10 tan jatuh gaung 40 kaki, pemandu tersepit

PITAS: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori 10 tan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 40 kaki di Kampung Toliduson, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.42 petang itu, mangsa dilaporkan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai BBP Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, lima anggota bersama sebuah jentera CFRT digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan Rescue Tool selain dibantu dua buah excavator bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi ditamatkan pada jam 9.37 malam selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.