KOTA KINABALU: Sabah sedang mengambil pendekatan lebih adaptif terhadap prospek pelancongannya susulan perubahan keadaan penerbangan global akibat ketegangan geopolitik, peningkatan kos operasi dan perubahan kapasiti syarikat penerbangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri kini menggunakan rangka kerja fleksibel bagi membolehkan penilaian berterusan terhadap perkembangan global yang mempengaruhi hubungan penerbangan dan permintaan pelancong antarabangsa.
“Kita sudah mula melihat perubahan ini memberi kesan kepada kapasiti syarikat penerbangan, termasuk penggantungan laluan dan pengurangan kekerapan penerbangan ke Kota Kinabalu.
“Kami sedang memantau perkembangan ini dengan rapat bagi memastikan perancangan pelancongan kekal responsif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara laluan yang terjejas ialah Singapura–Kota Kinabalu, Jakarta–Kota Kinabalu dan Ho Chi Minh–Kota Kinabalu oleh AirAsia, selain Seoul–Kota Kinabalu oleh Batik Air.
Jafry berkata, Sabah merekodkan 932,970 ketibaan pelawat sehingga Mac 2026, terdiri daripada 537,317 pelawat domestik dan 395,653 pelawat antarabangsa.
Menurutnya, sasaran empat juta ketibaan pelawat tahun ini masih berada di landasan namun boleh disemak semula bergantung kepada perkembangan semasa industri penerbangan global.
