Padah Potong ‘Blind Spot’, Penunggang Maut Dirempuh Hilux

TAWAU: Tindakan berani mati memotong kenderaan di laluan bertentangan mengundang padah apabila seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Tawau–Bombalai, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.35 pagi itu, mangsa lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 6.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda berusia 39 tahun dipercayai memotong kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya.

Menurutnya, pertembungan kuat itu menyebabkan mangsa cedera parah sebelum disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan.

Pemandu terbabit turut direman bagi membantu siasatan lanjut.

Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil risiko ketika memotong kenderaan lain.

“Pastikan laluan benar-benar selamat sebelum memotong bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” katanya.