RANAU: Seorang lelaki cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ranau-Telupid, Kampung Tanah Merah, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah van, Toyota Veloz dan lori treler.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa berusia 51 tahun tersepit di dalam van sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa,” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
