Perang berterusan berpunca kelemahan politik, bukan undang-undang – penganalisis

KOTA KINABALU: Konflik bersenjata yang terus berlaku di peringkat global dilihat lebih berpunca daripada kelemahan politik berbanding kegagalan undang-undang antarabangsa.

Pensyarah Kanan Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rizal Zamani Idris berkata walaupun kerangka undang-undang seperti Konvensyen Geneva telah lama diwujudkan, pelanggaran terhadap prinsip tersebut masih berleluasa.

Menurutnya, prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa seperti pembezaan antara sasaran tentera dan orang awam serta penggunaan kekuatan secara berkadar sering tidak dipatuhi dalam konflik moden.

Beliau berkata, konflik seperti Rusia-Ukraine, Israel-Gaza dan Syria memperlihatkan peningkatan korban awam, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem sedia ada.

“Isu utama bukan kelemahan prinsip undang-undang, tetapi kekurangan iltizam politik untuk menegakkannya,” katanya.

Tambahnya, ketiadaan kuasa penguatkuasaan global serta kecenderungan tindakan terpilih dalam kalangan negara turut melemahkan sistem antarabangsa.