PGA Lahad Datu rampas lebih RM4.1 juta, 18 ditahan

LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu merekodkan rampasan lebih RM4.1 juta hasil 13 serbuan yang dijalankan sepanjang Mac lalu.

Dalam operasi itu, seramai 18 individu ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan lapan wanita, termasuk warga tempatan dan asing.

Rampasan melibatkan pelbagai barangan seperti rokok tidak bercukai, mercun dan bunga api, bahan api petrol dan diesel, produk sejuk beku serta hidupan liar dilindungi.

Antara kejayaan utama ialah penahanan seorang lelaki warga asing bersama dadah jenis syabu di Felda Sahabat 2, selain tangkapan berkaitan pemilikan burung liar tanpa permit dan mercun tanpa lesen.

Kesemua kes disiasat mengikut pelbagai akta termasuk Akta Dadah Berbahaya, Akta Kastam dan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar.

PGA menegaskan akan terus komited dalam membanteras aktiviti jenayah dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat.