TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Sin San, di sini semalam.
Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam sebelum pihak berkuasa mengekori sebuah lori 21 tan yang mencurigakan ke lokasi berkenaan.
Pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan diesel secara tidak sah sedang dijalankan.
Hasil serbuan menemukan tiga lori, tiga tangki skid serta 10 tong drum dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
Sebanyak 30,800 liter diesel dirampas dengan nilai keseluruhan RM1.165 juta.
Seorang lelaki tempatan turut ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
