KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur dua premis dipercayai menyimpan barang lusuh dan sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen dalam Op Hazard yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam.
Dalam operasi itu, satu premis di Penampang didapati menyimpan kira-kira lapan tan bateri kereta secara tidak sah, manakala satu lagi premis di Sandakan dipercayai menyimpan pelbagai barangan e-waste seperti bateri kereta, komputer, mesin basuh dan peralatan elektrik lain.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik.
Selain itu, semakan pihak LHDN turut mendapati terdapat premis yang gagal mengemukakan dokumen percukaian lengkap.
Kes diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM720,998.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan haram yang boleh menjejaskan alam sekitar dan mengakibatkan ketirisan hasil negara.
