KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memantau rapi perkembangan krisis tenaga dan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, satu mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri diadakan bagi membincangkan impak kenaikan harga minyak serta barangan.
“Kita diminta memantau keadaan ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri bersama media, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan turut mencadangkan sebahagian penjawat awam bekerja dari rumah bermula 15 April sebagai langkah penjimatan tenaga dan kos.
Hajiji berkata Sabah masih berada dalam keadaan stabil dengan kapasiti bekalan elektrik kira-kira 1,400 megawatt, dengan 1,100 megawatt berasaskan gas dan selebihnya bergantung kepada diesel.
“Subsidi diesel yang masih diterima Sabah membantu mengurangkan beban kos,” katanya.
