Rahman Dahlan lepas jawatan ketua Umno Tuaran, kekal MKT

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melepaskan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tuaran, namun kekal sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, keputusan berkenaan bukan dibuat kerana wujud masalah dalam Umno Sabah, sebaliknya bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu.

Menurutnya, landskap politik semasa di Sabah memerlukan pemimpin yang lebih muda untuk memastikan kelangsungan parti itu pada masa depan.

“Saya sudah lama bersama Umno, malah sebelum parti itu masuk ke Sabah lagi. Dalam keadaan politik sekarang, kita perlu beri laluan kepada orang baharu,” katanya seperti dipetik FMT. 

Rahman berkata, beliau telah berbincang dengan rakan-rakan dalam parti berhubung keputusan itu dan mereka memahami pendiriannya.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 1 April lalu dan jawatan Ketua Umno Tuaran kini dipangku timbalannya, Norbaki Lamsari.

Beliau turut memaklumkan keputusan berkenaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Langkah Rahman itu hadir ketika Umno Sabah terus melalui fasa penyesuaian semula pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, selain berdepan perubahan kepimpinan selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Disember tahun lalu.

Hubungan Rahman dengan kepimpinan Umno Sabah sebelum ini turut menjadi perhatian susulan beberapa perbezaan pendapat terbuka, termasuk isu jemputan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, ke mesyuarat Umno Tuaran pada 2024. 

Mengulas masa depan politiknya, Rahman berkata beliau masih bersama Umno setakat ini, namun mengakui menerima pelbagai tawaran daripada parti lain.

“Dalam keadaan politik sekarang, memang ramai yang mendapat tawaran. Tetapi buat masa ini saya masih kekal dalam Umno,” katanya.