KOTA KINABALU: Masalah gangguan bekalan air di Papar dikenal pasti berpunca daripada kekurangan kapasiti loji rawatan air serta peningkatan kadar air masin di sumber air mentah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keperluan air harian di Papar mencecah 93 juta liter sehari, namun loji sedia ada hanya mampu menghasilkan 63 juta liter.
“Ini menyebabkan kekurangan kira-kira 30 juta liter air setiap hari,” katanya.
Menurut beliau, dua loji di Limbahau sering terjejas apabila kadar klorida meningkat melebihi tahap selamat akibat musim kemarau dan air pasang.
Sebagai langkah penyelesaian, projek menaik taraf LRA Kogopon sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Ogos 2026.
Selain itu, projek menaik taraf muka sauk di Kampung Kabang juga sedang dijalankan bagi memastikan sumber alternatif dapat digunakan apabila berlaku gangguan.
Beliau berkata, usaha pemantauan akan diteruskan bagi memastikan isu bekalan air di Papar dapat diselesaikan sepenuhnya.
