20 warga Filipina ditahan dalam operasi imigresen di Semporna

SEMPORNA: Seramai 20 lelaki warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam satu Operasi Bersepadu di daerah ini selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Operasi tersebut dilaksanakan pada Selasa lalu dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam operasi berkenaan, seramai 48 individu diperiksa melibatkan 11 warganegara Malaysia, 33 warganegara Filipina, seorang warga Indonesia dan tiga warga China.

Hasil pemeriksaan mendapati 20 lelaki warga Filipina dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan.

JIM memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan sepanjang bulan Ramadan termasuk di kawasan Bazar Ramadan dan lokasi tumpuan awam.