Mahkamah tolak petisyen, Fairuz kekal ADUN Pintasan

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya yang mencabar kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Farisz Gohim Abdullah selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Fairuz selaku responden dalam kes berkenaan.

Mahkamah memutuskan bahawa Fairuz dipilih secara sah sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pintasan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17) yang berlangsung pada November tahun lalu.

Hakim turut mengarahkan pempetisyen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya tersebut, membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Fairuz.

Petisyen itu sebelum ini difailkan Pandikar pada 22 Disember 2025 bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kemenangan Fairuz tidak sah.

Dalam PRN17 pada 29 November lalu, Fairuz memenangi kerusi DUN Pintasan dalam pertandingan 11 penjuru dengan memperoleh 4,675 undi dan majoriti 1,070 undi.