RM164.01 juta perkasakan pembangunan modal insan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM164.01 juta bagi program pembangunan modal insan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan dalam memastikan anak-anak Sabah mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan pada masa hadapan.

Menurutnya, antara fokus utama ialah pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta teknologi digital termasuk literasi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib sempena majlis perasmian Program Latihan Guru-Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di SJKC Lok Yuk.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan memperluaskan biasiswa dan bantuan pendidikan bagi memastikan lebih ramai belia Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

Menurutnya, program latihan guru yang dilaksanakan turut memainkan peranan penting dalam memastikan murid bersedia memahami teknologi serta membina inovasi melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.