PENAMPANG: Lebih 552 tan ayam dan daging sejuk beku bernilai RM14.56 juta dirampas dalam serbuan bersepadu di sebuah premis di Kampung Nambazan, Donggongon, semalam.
Operasi jam 10 pagi itu membabitkan Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan produk ayam dan daging dalam kuantiti sangat besar.
Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian produk sudah tamat tempoh selain wujud keraguan terhadap dokumen yang dikemukakan.
Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
Rampasan melibatkan 552,851.24 kilogram produk serta sebuah fasiliti ‘cold storage’, dengan nilai keseluruhan RM14,560,149.15.
Kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Veterinar 2015 dan Akta Makanan 1983.
