Hajiji Saksikan Ikrar Bebas Rasuah, Tegas Perkukuh Integriti Pentadbiran Negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan Pembantu-Pembantu Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis dimulakan dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen memperkukuh integriti serta memperkasa tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri.

Selesai sesi menandatangani dokumen IBR, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim masing-masing mewakili kumpulan terlibat menyerahkan dokumen tersebut kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd. Fuad yang turut menyaksikan majlis berkenaan kemudian menyampaikan taklimat khas, dengan penekanan terhadap langkah pencegahan rasuah serta pemantapan budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Dayang Noorashikhin Zulkefli serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso.

Majlis berkenaan mencerminkan iltizam berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran yang telus, berintegriti dan bebas rasuah.