KOTA KINABALU: Seorang mangsa maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya berhampiran Dewan Hakka, Jalan Signal Hill Park, malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan diterima pada jam 10.52 malam sebelum jentera tiba di lokasi sekitar 7 minit kemudian. Kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Hilux yang terbabas masuk ke longkang di tepi jalan.
Seramai 11 anggota dari BBP Kota Kinabalu diketuai PBK II Muhamad Shafie Jumiran bersama anggota PDRM dan KKM hadir bagi operasi menyelamat. Mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.
Mangsa cedera terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia sekitar 19 hingga 20-an, dengan dua daripada mereka mengalami cedera parah. Mangsa yang maut ialah seorang kanak-kanak perempuan.
Operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. JBPM Sabah menegaskan komitmen mereka “Cepat dan Mesra” dalam menghadapi kecemasan jalan raya.
