SEMPORNA: Empat lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, di sini, dengan kerugian dianggarkan RM7,500.
Kejadian disedari pemilik resort itu kira-kira jam 7.30 pagi, 27 Januari lalu, selepas mendapati sebuah enjin bot 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek datang ke lokasi kejadian menggunakan sebuah bot kecil kira-kira jam 12.37 tengah malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Rakaman CCTV menunjukkan seorang suspek masuk ke dalam stor sebelum melarikan enjin bot berkenaan menggunakan bot sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan dibuat, polis dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang suspek lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau kira-kira jam 10.55 malam, 28 Januari lalu.
“Hasil tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah bot kayu serta enjin bot 40hp,” katanya.
Menurutnya, soal siasat lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di Kampung Pulau Lumanggas dan polis turut merampas sebuah enjin bot Yamaha 15hp yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
