TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai mengamuk dan mengugut ibunya dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Vietnam, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam dipercayai berpunca daripada perselisihan keluarga.
Menurut beliau, suspek yang juga anak kepada mangsa bertindak agresif dengan membawa sebilah parang dan lastik selain merosakkan dinding rumah, menyebabkan ibunya yang berusia dalam lingkungan 60-an berasa takut lalu membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan suspek kira-kira jam 4.30 petang di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Menurut Jasmin, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan masalah keluarga dan segera melaporkan sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri serta keluarga.
