PAPAR: Kerja-kerja penyambungan silang rangkaian paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ke tangki utama P3 di Kawang sedang giat dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu diputuskan menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, susulan gangguan bekalan air berlarutan sejak penghujung Disember 2025.
Menurut beliau, kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada akan ditingkatkan sementara sebanyak 10 peratus, bersamaan tambahan antara 3.5 hingga 4 juta liter sehari (JLH), sementara menunggu siapnya Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2.
“Kapasiti tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 bagi menampung keperluan kritikal penduduk di Mukim Kinarut dan Kawang,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja telah bermula sejak 9 Januari dan dilaksanakan secara berterusan dengan sasaran siap pada 24 Januari ini.
