17 PATI ditahan dalam Ops Mahir, Ops Selera

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Ops Mahir dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam.

Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah itu membabitkan 21 pegawai penguat kuasa dan menyasarkan premis makanan, perniagaan serta sektor perkhidmatan yang disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

Hasil pemeriksaan ke atas enam premis melibatkan 37 individu membawa kepada penahanan 17 PATI terdiri daripada lima lelaki dewasa dan 12 wanita dewasa.

Menurut imigresen, daripada jumlah itu 16 adalah warganegara Filipina manakala seorang warganegara Indonesia, kesemuanya dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.

“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk proses dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Imigresen Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI serta menasihatkan majikan agar mematuhi undang-undang imigresen negara.