KOTA BELUD: Projek naik taraf Jalan Taginambur–Kamburaon bernilai RM21.476 juta bermula hari ini selepas upacara pecah tanah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewin Benedick.
Projek berkenaan merangkumi kerja pengaspalan jalan sepanjang 2.55 kilometer serta pembinaan sebuah jambatan konkrit dua hala dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2027.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, projek itu akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, selain memudahkan pergerakan penduduk luar bandar.
Menurut beliau, kemudahan jalan yang lebih baik turut memberi impak positif kepada sektor ekonomi dan pelancongan setempat serta memudahkan akses ke sekolah dan kemudahan awam.
Beliau memaklumkan, beberapa projek jalan lain sedang giat dilaksanakan di kawasan Kadamaian termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus dan Jalan Podos, selain pembinaan Jambatan Kaung dan Jambatan Malangkap.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Barob, Kampung Potomodun, Kampung Tiong Kamburaon, Kampung Tiong Tiong dan Kampung Gontung.
