SANDAKAN: Seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, di sini sekitar 9 Januari lalu.
Menurut kenyataan Imigresen Sabah, operasi berkenaan melibatkan lapan pegawai Imigresen bersama 33 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dilaksanakan bagi mengesan warga asing yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu yang ditahan merupakan warganegara Filipina dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Daripada jumlah tersebut, tangkapan melibatkan 20 lelaki dan 28 perempuan, termasuk kanak-kanak.
Kesemua orang kena tahan telah dibawa ke Depot Imigresen bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan sama, Imigresen Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
