KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki untuk melawat ibu mentuanya yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an menunggang motosikal dari arah Inanam sebelum bertembung dengan sebuah MPV di persimpangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergerak lurus ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar bahagian sisi kiri MPV yang sedang membelok ke kanan selepas lampu hijau menyala.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata pembonceng motosikal dan pemandu MPV turut cedera serta dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222.
