21 PATI ditahan dalam operasi Imigresen di Tawau

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Operasi yang dijalankan pada 29 Disember 2025 itu dilaksanakan susulan aduan awam dan melibatkan seramai sembilan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Tawau.

Menurut kenyataan JIM Sabah, hasil pemeriksaan ke atas 88 individu, seramai 21 orang warga asing dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah berjaya ditahan.

“Mereka terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu pihak berkuasa memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen di negeri ini.