Sabah Kekuatan dalam Kepelbagaian, Toleransi Jadi Benteng Keamanan

KOTA KINABALU:  Sabah perlu terus mempertahankan budaya saling menghormati dan kekal sebagai contoh toleransi antara agama serta kaum, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, insiden keganasan yang berlaku di beberapa negara lain berpunca daripada kegagalan mengurus perbezaan kaum dan agama secara berhemah, wajar dijadikan pengajaran bagi memastikan keharmonian di Sabah terus terpelihara.

Menurut Joniston, sikap tidak bertoleransi boleh membawa kesan yang serius terhadap kestabilan sosial, justeru usaha menolak ekstremisme agama dan perkauman perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Krismas Inanam di Pekan Inanam, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Inanam, Pastor Bios Solingkin, serta pemimpin dan penatua daripada pelbagai denominasi Kristian.

Joniston berkata, kepelbagaian kaum dan agama di Sabah sejak sekian lama menjadi kekuatan negeri itu, dengan rakyatnya sudah terbiasa hidup bersama, bekerja dan meraikan perayaan secara harmoni walaupun berbeza latar belakang.

Tambahnya, keharmonian sosial dan kepelbagaian budaya bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan negeri, malah memperkukuh daya tarikan pelancongan Sabah, selain menjadi aset penting yang perlu terus dipelihara.