GLC Sabah Gagal 5 Tahun Berturut-turut, Kerajaan Negeri Sedia Tutup

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah yang gagal menunjukkan prestasi selama lima tahun berturut-turut akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan arahan penutupan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk memastikan GLC berfungsi sebagai pemangkin ekonomi yang cekap dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Hajiji, mana-mana GLC yang gagal mencatat keuntungan selama lima tahun berturut-turut akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS).

“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek untuk pulih,” katanya hari ini.

Ketua Menteri menegaskan bahawa setiap badan berkanun dan GLC bertanggungjawab mematuhi kadar pembayaran dividen minimum 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai.

Malah, bermula tahun hadapan, beliau mahu melihat peningkatan sumbangan tahunan daripada GLC, antara RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada prestasi syarikat.

“Ini menunjukkan disiplin kewangan dan komitmen penuh amat dituntut daripada semua GLC,” katanya.

Sebagai langkah memperkukuh tadbir urus, kerajaan negeri akan melaksanakan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC.

Hajiji menekankan bahawa langkah ini bukan sekadar menukar kepimpinan, tetapi untuk memastikan transformasi yang berkesan dan mampan, sejajar dengan matlamat Sabah Maju Jaya 2.0.

GLC dijangka menjadi pemangkin ekonomi yang mampu menjana pendapatan dan nilai lebih tinggi untuk negeri dan rakyat.

Bermula tahun depan, semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan, dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi suku tahunan terus kepada Ketua Menteri.

Laporan itu mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi.

Mana-mana pihak yang gagal berdepan kemungkinan disemak kedudukan, diganti atau ditamatkan perkhidmatan.

Hajiji turut menekankan bahawa standard integriti kewangan yang tinggi, pelaksanaan telus, dan kebertanggungjawaban adalah teras kepada kejayaan GLC.

Beliau menekankan kerjasama erat antara lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi sebagai kunci untuk meningkatkan pulangan kepada kerajaan negeri dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Dalam majlis tersebut, Ketua Menteri menerima replika cek berjumlah RM131.6 juta daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri, dengan SMJ Energy Sdn Bhd mencatatkan dividen terbesar RM50 juta, serta RM1 juta sumbangan untuk Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.

Walaupun jumlah ini menunjukkan sumbangan masih positif, Hajiji percaya potensi sebenar GLC jauh lebih besar daripada yang dicapai setakat ini.

Selain itu, Ketua Menteri menyeru semua agensi melantik Pegawai Integriti Bertauliah atau menubuhkan Unit Integriti bagi memastikan tadbir urus lebih bersih, telus, dan bertanggungjawab.

Beliau juga menekankan kepentingan memiliki pasukan kepimpinan dinamik dan profesional bagi menerajui agenda pembangunan baharu, termasuk dalam bidang strategik seperti Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, dan teknologi data, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global.