SIPITANG: Yayasan Qhazanah Sabah (YQS) menceriakan sambutan Krismas murid-murid Sekolah Pendidikan Khas Daerah Sipitang menerusi majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Quang Square Sipitang, semalam.
Sumbangan tersebut disampaikan secara simbolik oleh Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob, melibatkan bantuan alat bantu mengajar termasuk televisyen kepada lima buah sekolah serta sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di daerah itu.
Pada majlis sama, Dr Yusof turut menyampaikan goodies Krismas kepada beberapa murid pendidikan khas sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan golongan berkeperluan khas.
Turut hadir ialah Pengarah YQS, Majorie Noivont; Pegawai Kebajikan Daerah Sipitang, Effie Hester Justin; serta Penolong Pegawai Tadbir Daerah Sipitang, Rhymie Abdul Rahman.
Dalam ucapannya, Dr Yusof berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) QSB yang dilaksanakan melalui YQS bagi memberi kembali manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, QSB komited memastikan keuntungan syarikat bukan sahaja menjana dividen kepada kerajaan negeri, malah turut dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Sabah.
“Penubuhan YQS mencerminkan komitmen berterusan QSB dalam melaksanakan program CSR, termasuk bantuan kebajikan serta sokongan kepada mangsa bencana alam di seluruh negeri,” katanya.
