KOTA KINABALU: Transformasi pendidikan di Sabah kini menghadapi cabaran baharu: kawalan akses digital pelajar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menegaskan isu ini memerlukan tindakan segera.
Beliau menyifatkan penyalahgunaan media sosial tanpa pengawasan dalam kalangan pelajar sebagai “virus digital” yang boleh menjejaskan pendidikan dan pembentukan modal insan.
“Kawalan akses digital perlu digubal segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” kata Masiung ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi & Anugerah Cemerlang Tahun 6 Sekolah Rendah Sacred Heart 2025.
Masiung mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bekerjasama untuk merangka dasar baharu bagi mengawal akses digital pelajar, khususnya murid sekolah rendah dan pelajar menengah.
Beliau menekankan bahawa pelajar perlu memahami batas penggunaan media sosial, terutama berkaitan penyebaran maklumat palsu, bagi mengelak risiko kemerosotan pendidikan.
“Kerajaan wajar mendengar suara kami di peringkat negeri dan ibu bapa. Usaha memartabatkan modal insan hanya akan berjaya jika reformasi menyeluruh menangani penyalahgunaan digital dilaksanakan segera,” tambahnya.
