Hak Sabah 40 peratus: Hampir 50 Tahun Tertangguh, Kini Masa Bertindak

KOTA KINABALU: Senator Datuk Bobbey Suan menegaskan pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk 40 peratus hasil bersih negeri, tidak boleh lagi ditangguh selepas hampir lima dekad.

Keputusan Mahkamah Tinggi Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) harus menjadi asas penstrukturan semula hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah, katanya.

Menurut Bobbey, Sabah menyambut baik peruntukan RM6.9 bilion oleh Kerajaan Persekutuan — jumlah tertinggi dalam sejarah negeri — termasuk kenaikan Geran Khas Interim kepada RM600 juta, sebagai langkah penyelesaian MA63.

“MA63 bukan sekadar tuntutan politik, tetapi asas kewujudan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.

Beliau menegaskan pelaksanaan 40 peratus hak Sabah mesti digerakkan melalui formula pengiraan tetap, mekanisme telus dan jadual pembayaran berkala yang tidak berubah mengikut pertukaran pentadbiran.

Sabah memerlukan keupayaan fiskal konsisten untuk menangani isu kritikal seperti krisis air, kelemahan rangkaian elektrik, pembangunan infrastruktur luar bandar, pendidikan dan modal insan.

Bobbey turut mengingatkan dua insiden besar 2025 yang menjejaskan produktiviti negeri: catuan elektrik seluruh Sabah akibat Terminal Gas Petronas Kimanis dan keruntuhan talian penghantaran 275 kV Kolopis–Segaliud, yang menjejaskan ratusan ribu rakyat dan menelan kerugian jutaan ringgit.

Beliau menyambut baik kelulusan Projek Southern Link dalam Belanjawan 2026 bagi meningkatkan kestabilan tenaga Pantai Timur sebanyak 200 MW.

Selain isu tenaga, Bobbey menegur birokrasi persekutuan yang melambatkan projek pembangunan di Sabah.

Beliau memuji Tabung Amanah Sabah yang memastikan lebihan peruntukan tidak kembali ke perbendaharaan Persekutuan, mencadangkan semua peruntukan persekutuan dimasukkan ke tabung ini supaya projek dapat dijalankan tanpa tertangguh.

Beliau juga menekankan isu keselamatan makanan Sabah dengan tahap Self-Sufficiency Level hanya 22.8%, serta potensi pelancongan yang kukuh dengan rekod 3.14 juta pelancong pada 2024 dan ratusan penerbangan antarabangsa dan domestik seminggu.

Bobbey menggesa peruntukan khas bagi mempercepat pembangunan Community-Based Tourism (CoBT) supaya Sabah menjadi model pelancongan komuniti terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara.