Dilastik Dari Kereta, Pelancong Wanita Cedera

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China berdepan detik cemas apabila terkena objek yang dipercayai dilastik dari sebuah kenderaan bergerak ketika berjalan bersama suaminya di pusat bandar, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Jalan Kota Kinabalu Lama 2 berhampiran Public Bank, mangsa berusia 31 tahun itu mengalami lebam pada bahagian badan sebelum membuat laporan polis tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati objek berkenaan dipercayai dilepaskan dari arah sebuah kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan individu yang bertanggungjawab dan kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000,” katanya.

Orang ramai yang melihat kejadian atau mana-mana pemandu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sekitar jam 6.45 hingga 7.15 malam di lokasi sama diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Damian Frederick di 017-6561513 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di 088-310208.