Usaha rapatkan jurang komuniti jadi fokus Forum Perkhidmatan Sosial 2025

KOTA KINABALU : Forum Perkhidmatan Sosial 2025 yang julung kali diadakan pada Khamis ini di Kota Kinabalu bakal menghimpunkan suara daripada masyarakat sivil, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa yang komited untuk memperkukuh perkhidmatan sosial.

Ia juga bagi memastikan tiada individu atau komuniti yang tercicir dalam usaha meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Dianjurkan oleh Majlis Perkhidmatan Sosial Sabah dengan kerjasama Unit Penyelidikan Komunikasi untuk Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF, forum ini membawa tema “Merapatkan Usaha, Mengukuhkan Komuniti.”

Kira-kira 100 pembentang dan peserta dijangka mengambil bahagian.

Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Sosial Sabah, Joeanne Lee, berkata forum berkenaan akan menjadi platform untuk para penceramah berkongsi inisiatif yang sedang dijalankan serta cabaran utama.

“Di samping meneroka peluang bagi meningkatkan kebajikan semua komuniti di Sabah — termasuk kanak-kanak dan keluarga, warga emas serta orang kurang upaya.

“Ini merupakan kali pertama kami menganjurkan forum seumpama ini, dan kami bersemangat untuk melihat bagaimana ia boleh mencetuskan hubungan yang lebih kukuh, pemahaman yang lebih mendalam, dan tindakan kolektif demi kebaikan sosial di Sabah,” katanya.

Selain dialog, katanya, forum ini bertujuan menginspirasi kerjasama sebenar.

Joeanna berkata, peserta daripada organisasi berdaftar di bawah Majlis akan berpeluang meneroka pengurusan sukarelawan yang berkesan, membincangkan amalan terbaik dan bersama-sama mencipta penyelesaian dalam bidang yang mereka berkhidmat.

Majlis tersebut, di bawah Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, memainkan peranan penting dalam menyelaras aktiviti kesukarelawanan kebajikan, memperkukuh kualiti kerja sosial sukarela, serta memupuk penyertaan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawanan melalui kerjasama dengan kerajaan, sektor swasta dan institusi akademik.

Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Maria Chong, akan menyampaikan ucaptama.

Ia akan diikuti oleh empat sesi forum yang memfokuskan pengurusan sukarelawan dalam perkhidmatan sosial, inspirasi penuaan sihat dan aktif, keibubapaan positif dan perlindungan kanak-kanak, serta memperkukuh kerjasama bagi pekerjaan dan pembangunan kemahiran untuk OKU.

Forum akan diakhiri dengan sesi praktikal istimewa bertajuk “Mendorong Komunikasi Perubahan Tingkah Laku Sosial: Perancangan Program Berimpak untuk NGO,” yang direka bagi membantu organisasi merangka strategi praktikal untuk memberi impak bermakna kepada komuniti