Wanita Gagasan Rakyat: “Tiada ruang, tiada alasan” untuk BN dalam kerajaan GRS

KOTA KINABALU: Wanita Gagasan Rakyat menegaskan sekali lagi pendirian keras mereka bahawa Barisan Nasional (BN) tidak wajar dibawa masuk ke dalam kerajaan GRS Plus, dengan alasan mandat rakyat dan kestabilan politik sudah pun memadai tanpa penyertaan parti itu.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda, berkata komposisi kerajaan pimpinan Hajiji Noor hari ini sudah mempunyai majoriti selesa — 29 kerusi GRS, lima Bebas, tiga UPKO, masing-masing satu daripada PH dan KDM, selain sokongan dua ADUN STAR.

Ditambah pula dengan pelantikan enam ADUN Dilantik, GRS Plus, tegasnya, tidak menghadapi sebarang defisit sokongan.

“Rakyat Sabah sudah membuat keputusan. BN ditolak pada PRN lalu. Mengapa perlu membawa mereka masuk melalui pintu belakang?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Redonah turut mengingatkan bahawa BN sebelum ini bukan sahaja enggan bekerjasama dengan GRS, malah menjadi antara pihak paling lantang mengkritik Hajiji.

Namun kini, kata beliau, parti itu pula muncul dengan tuntutan untuk kembali bertapak dalam kerajaan negeri.

“Ironinya terlalu jelas. Ketika BN menyerang kepimpinan Ketua Menteri, mereka sendiri yang menutup pintu.

“Hari ini, selepas rakyat menolak mereka, tiba-tiba mereka datang mengetuk,” katanya.

Wanita Gagasan Rakyat juga mengimbas episod politik 2023 — krisis yang mencetuskan kegentaran pemerintahan negeri dan menurut mereka, turut digerakkan oleh BN.

Peristiwa itu, tegas sayap itu, sewajarnya menjadi peringatan terhadap percaturan politik yang boleh merosakkan keyakinan rakyat.

Menurut Redonah, fokus kerajaan ketika ini harus kekal pada pentadbiran dan pembangunan, bukan memenuhi tuntutan mana-mana blok politik yang sudah kehilangan sokongan rakyat.

“Kerajaan ini ada mandat. Kerajaan ini ada majoriti. Kerajaan ini stabil. Itu sudah cukup untuk memajukan Sabah — tanpa BN,” tegasnya.