KOTA KINABALU: Selepas dua minggu berkempen, tibalah hari penting buat rakyat Sabah apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membuka tirainya pagi ini. Sebanyak 882 pusat mengundi dengan 3,559 saluran dibuka serentak pada jam 7.30 pagi bagi memberi ruang kepada 1.74 juta pengundi menunaikan tanggungjawab memilih barisan wakil rakyat baharu.
Pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat mulai 12 tengah hari sebelum penutupan penuh pada 5.30 petang.
PRN kali ini mencatat persaingan paling sengit dengan 596 calon daripada 22 parti politik serta 73 calon Bebas merebut 73 kerusi DUN. Antara kerusi yang menjadi tumpuan ialah Tulid (14 penjuru), diikuti Bandau, Tamparuli dan Inanam (13 penjuru masing-masing) serta Banggi (12 penjuru).
SPR mengingatkan pengundi supaya keluar awal bagi mengelakkan kesulitan akibat cuaca tidak menentu. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan pada pagi ini, manakala pedalaman berdepan ribut petir pada waktu petang. Hujan turut dijangka berterusan pada sebelah malam.
SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus, bergantung kepada keadaan cuaca, berbanding 66.61 peratus pada PRN 2020.
Keputusan awal dijangka dapat diumumkan sekitar 10 malam, namun bergantung kepada kelancaran proses penjumlahan undi dan keadaan cuaca. SPR menyasarkan keputusan penuh boleh diumumkan sekitar 12 tengah malam.
Majikan turut diingatkan agar memberi tempoh munasabah kepada pekerja yang ingin keluar mengundi, selaras dengan pengisytiharan kerajaan Sabah bahawa hari ini adalah cuti umum.
Pengundi juga dilarang menggunakan telefon bimbit dalam saluran mengundi dan diingatkan agar tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak kecuali petugas SPR.
