MEROTAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tetap komited melaksanakan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar berkata, tidak timbul soal kerajaan pusat mengabaikan tuntutan tersebut kerana ia sudah berada dalam fasa pelaksanaan, termasuk proses penelitian teknikal dan kewangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kita tidak pernah menarik balik komitmen itu. Kerajaan persekutuan akan tetap melaksanakan hak 40 peratus hasil Sabah, tetapi pelaksanaannya perlu mengikut proses perundangan dan perbincangan kewangan yang sedang berjalan,” katanya di Merotai Tawau malam ini.
Menurut Anwar, penjelasan teliti diperlukan kerana bayaran interim yang kini diberikan hanyalah langkah sementara sementara formula kekal dimuktamadkan.
“Ini bukan soal politik. Ini soal menghormati perjanjian yang telah ditandatangani sejak 1963.
“Sabah berhak mendapatnya dan kerajaan pusat akan menunaikannya,” tegas beliau.
Katanya lagi, kerajaan tidak mahu mengulangi kesilapan lalu yang hanya mengemukakan angka tanpa asas kewangan kukuh, sekali gus menjejaskan pelaksanaan sebenar hak negeri itu.
Sementara itu, kerajaan negeri Sabah menyambut baik jaminan tersebut dan menganggapnya sebagai perkembangan penting dalam hubungan persekutuan-negeri serta usaha merealisasikan autonomi fiskal yang termaktub dalam MA63.
