PRN Sabah: Sokongan Apas Tetap Kukuh Walau Diserang Fitnah Perkauman – Nizam

TAWAU: Calon GRS bagi DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menafikan dakwaan tular yang mendakwa beliau “tidak memerlukan sokongan masyarakat Bugis”.

Beliau menyifatkannya sebagai fitnah terancang menjelang hari pengundian sekali gus mengesahkan, tuduhan itu tidak pernah keluar daripada dirinya dan hanya menunjukkan ada pihak yang semakin terdesak.

Menurut Nizam, sentimen perkauman sengaja dimainkan untuk mengelirukan pengundi dan memecah-belahkan masyarakat di Tawau.

“Semua orang tahu saya berkawan dengan semua suku kaum. Ini taktik apabila mereka sudah kehabisan modal,” katanya ketika ditemui pada ceramah perdana DUN Apas, di sini semalam.

Beliau berkata rekod perkhidmatannya membuktikan komitmen terhadap keharmonian kaum, termasuk usahanya memastikan Festival Kebudayaan Antarabangsa terus dianjurkan di Tawau.

“Bagaimana saya boleh dituduh tidak mahu sokongan komuniti tertentu?” soalnya.

Nizam turut mengesahkan peguamnya sudah diarahkan membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyebarkan dakwaan tersebut.

Katanya, fitnah itu bukan hal kecil kerana ia mengancam perpaduan masyarakat dan mesti disiasat segera.

Beliau menegaskan budaya politik menyerang keturunan dan mengapi-apikan isu kaum bukan budaya rakyat Sabah.

“Ada pihak luar cuba membawa politik kasar. Orang Sabah tidak terima politik seperti itu,” katanya.

Walaupun berdepan serangan bermotifkan fitnah, Nizam yakin pengundi Apas matang dan tidak mudah terpengaruh.

“Sokongan tetap kukuh. Pengundi tahu membezakan antara fakta dan fitnah,” katanya.