Masyarakat Dusun sokong calon BN di Klias

BEAUFORT: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Angku Laitui, yakin masyarakat Dusun akan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Klias, Osin Jilon, pada pilihan raya negeri 29 Nov ini.

Beliau berkata sokongan itu dipengaruhi hubungan baik calon berkenaan dengan penduduk serta penghargaan masyarakat terhadap pembangunan yang pernah dibawa BN sebelum ini, termasuk kemudahan asas dan prasarana jalan raya.

“Banyak jasa BN yang mereka ingati. Mereka juga bersedia membuat perubahan dengan memenangkan calon BN supaya pembangunan dapat disambung semula,” katanya ketika meninjau PDM Halogilat bersama Osin, kelmarin.

Angku, yang juga penyelaras PDM berkenaan, berkata penduduk berharap pembangunan yang diperlukan komuniti setempat dapat diteruskan sekiranya Osin diberi mandat.

Beliau mendakwa sokongan terhadap BN di Klias ketika ini datang daripada pelbagai komuniti termasuk Bisaya, Brunei, Cina dan Dusun, dan meramalkan Osin mampu memberikan tentangan sengit kepada penyandang ADUN, Datuk Isnin Aliasneh.

“Kita percaya kejutan boleh berlaku, dan suasana itu sudah dirasai sekarang,” katanya.

Angku turut berharap proses kempen berjalan lancar tanpa halangan yang boleh menjejaskan sokongan pengundi, selain menjangka kadar keluar mengundi meningkat pada hari pembuangan undi.