LAHAD DATU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, mengumumkan penarikan diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sambil menegaskan keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, langkah tersebut diambil selepas perbincangan bersama kepimpinan tertinggi PH dan mengambil kira kepentingan menjaga keharmonian dalam kalangan parti-parti kerajaan.
“Saya ingin menekankan bahawa ini adalah keputusan peribadi, tanpa tekanan atau rundingan dengan pihak luar. Ia dibuat selepas pertimbangan mendalam demi mengekalkan hubungan baik antara rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
DUN Silam menyaksikan pertandingan sembilan penjuru, termasuk dua parti kerajaan – Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
GRS menampilkan Mizma Appehdullah, manakala BN mempertaruhkan Sharif Musa Sharif Mabul.
Turut bertanding ialah Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Balkis Kalinggalan (PN) serta calon-calon bebas. Pada PRN 2020, kerusi ini dimenangi Warisan melalui Dumi Pg Masdal.
Abdul Halim, salah seorang daripada 12 calon PKR di Sabah, turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada penduduk Silam dan Lahad Datu.
“Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berhenti. Saya akan terus menyumbang dalam apa jua kapasiti demi memastikan suara rakyat didengari,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata parti menghormati keputusan yang dibuat dan menolak dakwaan bahawa wujud sebarang campur tangan.
“Keputusan itu adalah sepenuhnya keputusan peribadi Abdul Halim. Semangat setiakawan dan kerjasama politik kekal menjadi keutamaan PKR dalam memastikan kestabilan politik Sabah,” katanya.
