KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik dalam keluarganya bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya tanda kematangan demokrasi dalam masyarakat.
Timbalan Ketua Wanita GRS itu berkata, hubungan kekeluargaan harus terus dipelihara walaupun berada di pentas politik yang berbeza.
“Silaturahim itu lebih utama. Politik boleh berbeza, tapi kasih keluarga jangan sekali-kali putus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini.
Dua abangnya, Datuk Wetrom Bahanda (KDM) dan Verdon Bahanda, dijangka turut bertanding di kawasan lain pada PRN Sabah ke-17, menjadikan keluarga mereka antara paling mendapat perhatian dalam gelanggang politik negeri.
Redonah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepada lebih ramai calon wanita untuk membawa suara rakyat di peringkat DUN.
“Ini bukti GRS mengangkat peranan wanita dan memberi ruang untuk kami terus berkhidmat,” katanya.
PRN Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada Sabtu.
