KOTA KINABALU: Dua pemimpin kanan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Klias keluar parti bagi menyatakan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November ini.
Mereka ialah Naib Ketua Bahagian PGRS Beaufort, Omar Shahron Osin dan Ketua Pemuda bahagian, Mohd Shahril Osin, yang juga anak kepada Osin Jilon, calon BN bagi kawasan berkenaan.
Dalam kenyataan ringkas hari ini, Omar Shahron berkata beliau dan adiknya mengambil keputusan meninggalkan PGRS demi memberi sokongan penuh kepada ayah mereka.
“Mereka berdua keluar daripada parti dan menumpukan usaha membantu kemenangan calon BN di Klias,” katanya.
Menurutnya, beberapa ahli keluarga yang turut memegang jawatan dalam bahagian PGRS Beaufort juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti.
Terdahulu, pada 9 November lalu, Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, mengumumkan Osin sebagai calon BN bagi DUN Klias.
Perkembangan itu dijangka memberi kesan kepada kepimpinan PGRS Beaufort yang diterajui Datuk Isnin Aliasnih, selaku Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
