Remaja hamil 6 bulan, teman lelaki ditahan

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol teman wanitanya yang kini hamil enam bulan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian terbongkar apabila pengadu membawa adik angkatnya berusia 15 tahun ke sebuah klinik swasta di Taman Sawit, di sini, untuk pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati remaja terbabit sedang mengandung enam bulan.

“Mangsa kemudian memaklumkan dia telah dibawa teman lelakinya ke sebuah rumah di kawasan Taman Sri Balung dan dirogol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan operasi di Bandar Sri Indah sebelum menahan suspek yang disyaki terlibat.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan ahli keluarga agar sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa atau terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

“Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat,” katanya.