INANAM: Bekas Ketua Mahkamah Anak Negeri, Edna Majimbun, menggesa seluruh rakyat Sabah agar bersatu menuntut keadilan dan hak negeri itu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Edna berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menunaikan hak 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan bukannya sekadar memberi janji atau simbolik politik semata-mata.
Beliau menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menegaskan hak Sabah terhadap pemberian khas itu, namun menegaskan keputusan tersebut mesti diterjemahkan kepada tindakan sebenar.
“Hak 40 peratus bukan hadiah atau tanda belas kasihan. Ia hak perlembagaan yang mesti dihormati. Mahkamah sudah bersuara, Perlembagaan sudah jelas – kini kerajaan mesti bertindak,” tegasnya.
Menurut Edna, walaupun beliau menghargai kenyataan Perdana Menteri serta pelbagai peruntukan yang disalurkan kepada Sabah, namun semua bantuan itu tidak boleh disamakan dengan apa yang sememangnya menjadi hak negeri ini.
“Masa depan Sabah bergantung kepada keberanian kita untuk terus bersatu dan kepada kejujuran pemimpin untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Rakyat menuntut tindakan, bukan sekadar kata-kata,” ujarnya.
Edna turut menyeru rakyat Sabah, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, agar bersatu sebagai satu suara menuntut keadilan demi generasi akan datang.
“Ini bukan soal politik, ini soal maruah dan keadilan. Kita mesti menjadi generasi yang memperbetulkan kesilapan masa lalu dan membina semula Malaysia berasaskan kebenaran serta hormat antara rakan dalam Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan perjuangan ini bukan hanya untuk satu kumpulan atau wilayah, tetapi demi masa depan setiap keluarga dan anak Sabah yang berhak menikmati hasil negeri sendiri.
“Ini bukan ihsan — ini keadilan. Dan keadilan tidak boleh ditangguh lagi,” tegasnya.
