Letak Jawatan Bukan Ugutan, Tapi Lambang Integriti – Prinsip Westminster Perlu Difahami

KOTA KINABALU: Prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet mesti difahami dalam konteks sebenar sistem demokrasi berparlimen berteraskan semangat Westminster, tegas Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang.

Beliau berkata, dalam sistem tersebut, setiap anggota Kabinet terikat dengan keputusan bersama kerajaan dan jika seseorang menteri tidak bersetuju atas dasar prinsip, tindakan meletakkan jawatan adalah langkah bermaruah — bukan bentuk ugutan.

“Seorang menteri yang berpegang pada prinsip tidak akan berkompromi dengan keputusan yang bercanggah dengan pendiriannya. Meletak jawatan mencerminkan integriti dan kejujuran, bukan tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nelson mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berhubung prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet dalam isu hak 40 peratus hasil bersih Sabah, yang menurutnya wajar difahami dengan lebih mendalam.

Beliau turut menegaskan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, sentiasa konsisten memperjuangkan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan hak 40 peratus hasil bersih negeri Sabah sebagaimana termaktub dalam perjanjian itu.

“Komitmen Ewon terhadap MA63 bukan baharu — ia menjadi teras perjuangan UPKO dan perjuangan rakyat Sabah. Prinsip ini bukan soal politik, tapi soal maruah dan hak yang dijamin dalam perlembagaan,” tegasnya.

Nelson menjelaskan tidak semua keputusan mahkamah perlu dirayu kerana setiap keputusan wajar dinilai berdasarkan merit undang-undang, keadilan dan kekuatan hujah yang dikemukakan.

“Lebih baik pemimpin memahami konteks sebenar perjuangan MA63 sebelum mengulas. Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak 40 peratus hasil bersih Sabah ialah peluang besar untuk Malaysia menghormati semangat MA63 dan hak rakyat negeri ini,” katanya.