KOTA KINABALU: Seramai 660,000 pengundi baharu dan muda di Sabah diseru agar menggunakan kuasa undi mereka dengan bijak untuk mengekalkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik dan masa depan negeri yang lebih terjamin.
Seruan itu disampaikan oleh bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah, yang menegaskan pentadbiran GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan belia dan pendidikan.
Menurutnya, pelbagai dasar dan inisiatif pro-belia telah dilaksanakan termasuk peningkatan peruntukan untuk pelajar, bantuan kepada institusi pendidikan dan program memperkasa beliawanis di seluruh negeri.
“Kejayaan anak muda Sabah dalam bidang sukan, kebudayaan dan akademik bukan kebetulan, tetapi hasil dasar kerajaan GRS yang memahami keperluan generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah turut memuji langkah kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas terus ke akaun sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bagi memastikan aktiviti pelajar dapat dijalankan tanpa perlu bergantung kepada kutipan sumbangan masyarakat.
“Inisiatif sebegini tidak berlaku pada zaman pentadbiran terdahulu. Ketika era BN dan Warisan, banyak PIBG terpaksa cari bantuan pemimpin kawasan. GRS telah mengubah keadaan itu,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa dasar mesra belia yang diperjuangkan selama ini mungkin tidak diteruskan sekiranya mandat rakyat diberikan kepada parti lain seperti BN atau Warisan.
“Tiada jaminan dasar sedia ada akan dikekalkan jika kerajaan bertukar tangan. Sebab itu penting pengundi muda berfikir rasional, bukan mengundi berdasarkan emosi,” ujarnya.
Aksyah menegaskan, rakyat terutama pengundi muda perlu menghargai kestabilan yang telah diwujudkan oleh GRS dan terus mempercayai kepimpinan Hajiji yang disifatkannya sebagai pemimpin tempatan berjiwa rakyat serta memahami denyut nadi generasi muda Sabah.
“Pastikan undi anda untuk GRS supaya pentadbiran Sabah kekal stabil dan ditunjangi oleh parti anak negeri. Lebih baik rumah dijaga keluarga sendiri daripada diserah kepada orang luar,” katanya.
